Sunday 22 August 2021

Bezanya era Muhyiddin dan Ismail

Pandangan bahawa perdana menteri yang bakal dilantik tidak mengekalkan struktur kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) dialu-alukan.


Ini kerana formula politik pasca pengunduran Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah berbeza daripada era Langkah Sheraton.


Ketika itu Muhyiddin, yang didakwa tidak mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi telah menawarkan pelbagai jawatan kepada penyokongnya termasuk jawatan menteri.


Keadaan itu menyebabkan wujud jumlah menteri dan timbalan menteri yang terlalu ramai.


Kerajaan Muhyiddin juga mengembalikan jawatan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada ahli politik bagi memperoleh sokongan.


Ini bertentangan dengan perubahan yang dilakukan oleh Pakatan Harapan di mana pengerusi GLC dilantik daripada kalangan golongan teknokrat dan pakar dalam bidang masing-masing.


Oleh itu calon yang bakal menggalas tanggungjawab sebagai CEO Malaysia itu hendaklah melakukan reformasi yang dikehendaki rakyat.


Pertama sekali, beliau diharapkan akan memperkecilkan saiz kabinetnya kerana jumlah menteri (dan timbalan menteri) yang besar tidak menjanjikan bahawa semuanya produktif dan memanfaatkan rakyat dan negara.


Bahkan perdana menteri yang mempunyai kuasa eksekutif juga tidak harus terikat dengan sokongan yang diperolehnya kerana ia prerogatif seorang perdana menteri.


Dalam konteks tersebut, ingatan

Ketua Pemuda Umno,  Datuk Asyraf Wajdi Dusuki bahawa calon perdana menteri dari BN tidak harus membuat sebarang perjanjian mengekalkan struktur kabinet kerajaan PN adalah tepat.


Sebaliknya Asyraf berpendapat calon itu harus mewujudkan kabinet yang mampu menterjemahkan permuafakatan dan perpaduan semua parti politik dalam tempoh untuk menangani Covid-19.


Katanya, dalam mesyuarat Majlis Kerta Tertinggi malam kelmarin, beliau menegaskan bahawa sesiapapun yang dinamakan sebagai calon perdana menteri daripada Barisan Nasional dan Umno tidak perlu mengikat dirinya dengan apa juga bentuk perjanjian untuk mengekalkan struktur kabinet kerajaan PN yang lalu.


Dalam mesyuarat yang diadakan secara berasingan, Umno, Bersatu dan Pas mencapai kata sepakat untuk menyokong Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri bagi menggantikan Muhyiddin Yassin.


Justeru rakyat dan pemerhati politik secara umumnya menaruh harapan yang tinggi agar perdana menteri yang bakal dilantik akan mengambil kira pandangan rakyat dan tidak mengulangi kesilapan kerajaan Muhyiddin.


Sudah tentunya antara aspek yang perlu diambil kira selain mengecilkan jumlah anggota kabinet, ialah kriteria  pelantikan menteri yang bukan sekadar mewakili parti tetapi kemampuan mereka untuk diangkat untuk memegang jawatan itu.


Kabinet rakyat yang baharu ini harus terdiri daripada mereka yang mampu mengendalikan dua isu penting yang dihadapi negara iaitu ancaman Covid-19 dan masalah ekonomi yang meruncing.


Jawatan timbalan perdana menteri, yang tidak ada dalam Perlembagaan, juga tidak harus diisi, jika tidak perlu.

Tuesday 5 January 2021

Mesyuarat MT Umno tentu masa depan politik Melayu

Laporan terbaharu media hari ini memetik Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai berkata bahawa beliau sedia untuk melepaskan jawatan dalam kerajaan sekiranya diminta berbuat demikian oleh parti.Katanya, beliau terikat dengan keputusan Majlis Tertinggi Umno yang akan bermesyuarat pada malam esok. Antara lain mesyuarat itu dijangka membincang kedudukan pemimpin Umno yang memegang jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin.

Khairy sepatutnya sedar tentang kemelut politik yang melanda sekarang dan ketidakpuasan hati ahli Umno di peringkat akar umbi.

Pada mesyuarat agung bahagian pada hujung minggu lalu, sekurang-kurangnya 143 daripada 191 bahagian Umno tidak lagi mahu bekerjasama dengan parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam pilihanraya umum ke-15.

Terdahulu Pengerusi Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakob meletakkan jawatan sebagai pengerusi Lembaga Minyak sawit Malaysia (MPOB) setelah menggesa Parlimen dibubarkan bulan ini. 

Perkembangan akhir-akhir ini menunjukkan sebilangan pemimpin Umno berasa gusar dan tidak selesa berada dalam Perikatan Nasional. 

Keputusan ketua-ketua bahagian seharusnya menjadi petunjuk kepada pemimpin Umno arah tuju mereka selepas ini. Umno masih boleh bekerjasama dengan parti Pas dalam Muafakat Nasional (MN) bagi mewakili orang Melayu di negara ini.

Media juga hari ini melaporkan mengenai pemecatan Annuar Musa sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dengan serta-merta berikutan keakraban beliau dengan Muhyiddin dan Perikatan Nasional.  Tempat beliau diuar-uarkan digantikan oleh Ahmad Maslan yang juga kini Setiausaha Agung Umno.

Apa yang akan berlaku pada mesyuarat MT Umno malam esok dinanti-nantikan bukan sahaja oleh ahli politik di negara ini bahkan seluruh rakyat Malaysia. 

Ini kerana Umno yang menjadi tunjang BN sebelum kejatuhannya pada PRU-14 pada 2018, adalah parti terbesar dan berpengaruh.

Mesyuarat MT Umno malam esok dijangka akan mencorakkan masa hadapan politik Melayu di negara ini dengan mengambil kira suara akar umbi.

 

Monday 28 December 2020

Untunglah Khairy jadi menteri

Isu berkaitan Khairy Jamaluddin jatuh 
basikal kini mendapat perhatian di seluruh negara. 

Berikutan kejadian itu, Jabatan Kerja Raya Kuala Langat dengan pantasnya membaiki lubang di jalan terlibat dan memohon maaf kepada Khairy.

Wow! Bayangkan jika ini berlaku setiap hari tanpa mengira pangkat dan darjat.

Untunglah Khairy jadi menteri. Menteri boleh dapat segala-galanya. Menteri juga boleh terlepas daripada kuarantin dan hukuman penjara kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Wow! sekali lagi kepada menteri daripada parti Pas itu, Khairuddin Aman Razali.

Respons ‘prihatin’ JKR Kuala Langat terhadap malapetaka Khairy itu membuktikan bahawa terdapat dua standard tindakan oleh jabatan kerajaan.

Lalu teringat penulis kepada saranan seorang sahabat, kalau kita ingin mendapatkan jalan raya yang diturap dengan baik atau lubang ditampal dengan segera, jemputlah PM ke kawasan kita. Pastinya pihak berkuasa tempatan akan bergegas membaiki jalan berlubang dan membersihkan sampah dan sebagainya.

Sebenarnya jabatan kerajaan harus malu kerana mengambil sikap endah tak endah terhadap orang ramai di kawasan pentadbiran mereka. Hakikatnya orang ramai atau penduduk setempat tidak perlu pun bersusah payah untuk menghubungi PBT apabila ada sesuatu yang memerlukan tindakan mereka.

PBT sepatutnya mempunyai sistem pemantauannya sendiri. Inspektor kawasan yang digajikan seharusnya membuat rondaan dan memaklumkan kepada agensi di bawah pentadbiran PBT apabila berlaku keadaan seperti jalan berlubang, sampah bertaburan dan lain-lain.

Tetapi sebaliknya apa yang berlaku ialah penduduk atau organisasi yang mewakili penduduk seperti Persatuan Penduduk atau Rukun Tetangga terpaksa membuat aduan kepada PBT melalui surat, emel, whatsapp atau berjumpa sendiri pegawai PBT untuk menyampaikan aduan. Itupun kalau pegawai PBT itu melayan.

Di sesetengah kawasan, pengurus kawasan PBT hanya melayan orang tertentu sahaja. Tidak semua pihak  dilayannya.

Justeru penulis ingin mencadangkan kepada PBT seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)  agar menyediakan prosedur kerja bagi pengurus kawasan supaya ‘turun padang’ menjenguk klien mereka di kawasan perumahan dan perniagaan.

Tujuannya agar mereka lebih efisien dan cepat mengatasi masalah di peringkat bawahan terutama dengan wujudnya dasar baharu menteri, Kuala Lumpur Bebas Berniaga (KLBB) yang pastinya akan menimbulkan masalah sampingan.

 

 

 

 

Isu kartel: Jangan lindungi mana-mana pihak termasuk VVIP

Pemuda Umno Malaysia pada 27 Disember 
membuat desakan kepada kerajaan supaya memastikan tidak berlaku keadaan di mana ada pihak yang dilindungi dalam isu kartel daging import halal, termasuk orang kenamaan dan VVIP.

Nah, itu satu desakan terbaik oleh ketuanya, Asyraf Wajdi Dusuki yang juga mahukan sebuah pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat dan mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang terbabit dalam penyelewengan termasuk rasuah dalam isu berkenaan.

Sehingga tarikh tulisan ini, Asyraf Dusuki adalah ketua pemuda yang tidak memegang jawatan menteri. Justeru mudah bagi beliau bertindak tegas dan membuat pelbagai saranan.

Tetapi andainya beliau seorang menteri, seperti pada keadaan sebelum ini di mana ketua pemuda adalah juga menteri, maka agak sukar baginya membuat desakan ini dan itu. Keadaan di mana ketua pemuda tidak memegang jawatan menteri adalah seperti era Syed Jaafar Albar dan Suhaimi Kamaruddin dulu.

Isu kartel daging yang ‘panas’ ini mula didedahkan oleh akhbar Sinar Harian pada November. Laporan itu menyatakan kegiatan mengimport daging sejuk dari luar negara tidak mendapat kelulusan sah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Daging berkenaan dibungkus dengan jenama daging halal dan pelekat halal serta logo Jakim sebelum dipasarkan ke seluruh negara.

Maknanya ia satu skandal besar yang menjejaskan pemakanan daging halal oleh umat Islam di negara ini!

Pendedahan itu membawa kepada serbuan di sebuah gudang di Senai awal bulan ini, diketuai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

Penulis ingin juga memetik laporan New Straits Times pada 21 dan 22 Disember bahawa kartel itu beroperasi selama 40 tahun, hasil bersubahat beberapa pegawai dalam agensi kerajaan untuk membawa daging berkenaan.

Antara daging yang dibawa masuk adalah daging kangaru dan kuda, yang dijual sebagai daging yang berstatus halal dan pegawai yang terlibat dikatakan menerima pelbagai jenis habuan, termasuk wang dan seks, bagi membolehkan kartel tersebut beroperasi mengimport daging tersebut.

Macam mana boleh keadaan ini berlaku tanpa pengetahuan Jakim dan pihak yang bertanggungjawab? Alasan tidak cukup pegawai atau peruntukan adalah alasan yang tidak boleh diterima sama sekali.

Pastinya rakyat Malaysia setuju dengan Asyraf Dusuki bahjawa seharusnya tidak ada sebarang usaha untuk menutup atau melindungi mana-mana pihak termasuk VVIP sekiranya mereka terbabit!

Kenapa kerajaan Perikatan Nasional (PN) amat lembab dalam tindakan mereka tentang isu kepentingan umat Islam ini?

Kenapa logo halal Jakim yang tidak sah boleh digunakan dengan berleluasa oleh pihak tertentu? Di mana pengawasan agensi kerajaan dalam isu ini yang berlarutan selama 40 tahun?

Sunday 20 December 2020

Mohd Aris Melayu pertama jadi Datuk Bandar di England

Mod Aris dilantik sebagai
Datuk bandar Winsford
Jocelyn Yow

Baru-baru ini media heboh memperkatakanmengenai  wanita berdarah Malaysia, Jocelyn Yow yang menjadi wanita termuda dilantik sebagai Datuk Bandar Eastvale di California, Amerika Syarikat.           


Namun apa yang ingin diceritakan oleh penulis ialah pada 1989 terdapat seorang anak jati Malaysia yang berasal dari Johor Bahru yang dilantik sebagai Datuk Bandar Winsford di England. 

Penulis berada pada majlis berkenaan untuk merakam detik bersejarah itu ketika menjadi Koresponden Utusan Malaysia di London.

Bergambar bersama keluarganya selepas
majlis mengangkat sumpah 
Pada petang 15 Mei 1989, Mohd Aris Ahmad, yang ketika itu berusia 55 tahun mengangkat sumpah sebagai datuk bandar di kota Inggeris berkenaan, kira-kira 250 kilometer dari London (Beliau kini sudah meninggal dunia).

Hubungan awal Mohd Aris dengan Inggeris bermula apabila beliau bersekolah di English College Johor Bahru antara 1945 hingga 1951. Selepas tamat persekolahan, beliau menyertai Pasukan Tentera Hutan atau apa yang dikenali sebagai Jungle Company dan ditugaskan menjadi operator wireless telegraf dalam operasi di kawasan perhutanan Perak dan Kelantan.

Baru-baru ini media heboh memperkatakan mengenai seorang wanita berdarah Malaysia, Jocelyn Yow yang menjadi wanita termuda dilantik sebagai Datuk Bandar Eastvale di California, Amerika Syarikat.

Bapa Jocelyn berasal dari Malaysia dan ibunya dari Vietnam berpindah ke Amerika Syarikat pada 1990-an. Mengikut laporan akhbar, Jocelyn pernah belajar di Sekolah Keat Hwa di Alor Setar. Beliau sebelum ini pernah bertugas sebagai pembantu Dewan Perwakilan di Amerika Syarikat dan menjadi wakil daerah di Senat California. Tahniah diucapkan kepada Jocelyn, anak kacukan Malaysia-Vietnam itu.

Keratan akhbar berhubung pelantikan Mohd Aris 

Namun apa yang ingin diceritakan oleh penulis ialah pada 1989 terdapat seorang anak jati Malaysia yang berasal dari Johor Bahru yang dilantik sebagai Datuk Bandar Winsford di England. Penulis berada pada majlis berkenaan untuk merakam detik bersejarah itu ketika menjadi Koresponden Utusan Malaysia di London.

Pada petang 15 Mei 1989, Mohd Aris Ahmad, yang ketika itu berusia 55 tahun mengangkat sumpah sebagai datuk bandar di kota Inggeris berkenaan, kira-kira 250 kilometer dari London (Beliau kini sudah meninggal dunia). 

Hubungan awal Mohd Aris dengan Inggeris bermula apabila beliau bersekolah di English College Johor Bahru antara 1945 hingga 1951. Selepas tamat persekolahan, beliau 

menyertai Pasukan Tentera Hutan atau apa yang dikenali sebagai Jungle Company dan ditugaskan menjadi operator wireless telegraf dalam operasi di kawasan perhutanan Perak dan Kelantan.

Mengikut ceritanya kepada penulis, Mohd Aris berkata ketika itu beliau tidak membelanjakan gajinya kerana hanya berpeluang ke pekan Gerik atau Kuala Kangsar empat atau enam bulan sekali. Justeru wang yang diperolehnya disimpan untuk kegunaan masa hadapan.

Kebetulan pula semasa berada dalam Jungle Company, Mohd Aris bergaul dengan askar British, yang menggalakkannya untuk melanjutkan pelajaran ke England. Ini adalah titik permulaan perubahan dalam kehidupannya.

Katanya, selepas tamat perkhidmatannya dengan Jungle Company pada 1956, beliau memutuskan untuk ke England dengan tujuan menyambung pelajaran sebagai persediaan menghadapi kemerdekaan tanah air.

Lalu beliau pun berhijarah ke Manchester pada 1957 dan bekerja secara sambilan di beberapa tempat di samping mengambil peperiksaan O Level dan kemudiannya A Level. Akhirnya Mohd Aris diterima masuk ke Manchester University tetapi terkandas di separuh jalan.

Di sinilah dia menemui wanita yang bernama Miss Renee Orange dan berkahwin dengannya pada 1959. Hasil perkahwinan itu, mereka mendapat dua anak, Faziah dan Ibrahim. Kedua-duanya juga sudah berumah tangga ketika Mohd Aris menjadi datuk bandar.

Pelbagai pekerjaan dilakukan Mohd Aris bagi menempuhi cabaran baharunya di England. Namun tidak terlintas pada pemikirannya bahawa pada satu hari beliau akan menjadi Datuk Bandar Winsford, yang terletak di barat daya England.

Bagi meneruskan kehidupan berkeluarga, Mohd Aris bekerja sebaagai pemandu lori dengan tekunnya tetapi tidak disangka sikapnya yang bersahaja dan peramah itu menyebabkan dia disukai oleh orang putih di bandar itu.

Beliau adalah satu-satunya pemastautin Melayu di Winsford ketika berhijrah kira-kira 20 tahun sebelumnya dan masih orang Melayu tunggal di situ sehingga diangkat sebagai datuk bandar.

Walaupun sudah begitu lama hidup bersama orang Inggeris dan jauh dari kampung halaman, namun      adat resam, bahasa dan agama tidak dilupainya. Malah amalannya itulah yang menjadi kekuatan kepadanya.

Dalam pertemuan dengan beberapa penduduk termasuk jirannya di majlis pengisytiharan datuk bandar, Mohd Aris atau Jeff, nama panggilannya di Winsford, disifatkan sebagai mempunyai perwatakan yang baik.

Kemesraan di antara Mohd Aris dengan penduduk tempatan inilah yang menyebabkan beliau ditarik menyertai politik pada 1977. Dua tahun kemudian beliau mencuba nasib dengan bertanding kerusi majlis tempatan Winsford, mewakili Parti Buruh. Cubaan kali pertamanya gagal.

Namun empat tahun selepas itu apabila pilihan raya majlis tempatan diadakan, anak jati Johor ini mencuba nasibnya sekali lagi dan berjaya! Ketika itu beliau sudah berhenti menjadi pemandu lori dan menjalankan perniagaannya sendiri bersama menantunya John Brooks.

Selepas pilihan raya 1987 Mohd Aris dilantik oleh ahli majlis yang lain sebagai Timbalan Datuk Bandar dan seterusnya pada 1989, beliau menggantikan tempat Arnold Newton Ford sebagai Datuk Bandar. Menurut Ford, pelantikan datuk bandar dilakukan secara pemilihan dalam kalangan ahli majlis berdasarkan merit tanpa prejudis.

“Kami pilih Councillor Ahmad sebab dia seorang yang tekun bekerja dan telah lama berhidmat dalam majlis,” kata Ford.

Majlis Tempatan Winsford ketika itu diwakili 15 anggota, 10 daripadanya mewakili Parti Buruh (Labour Party) dan lima lagi mewakili Parti Konservatif. Ini memudahkan lagi pelantikan Mohd Aris kerana Parti Buruh mempunyai majoriti. Di samping jawatan di Winsford, beliau juga ahli Majlis Tempatan Daerah Vale Royal.

Ditanya apakah rahsia beliau sehingga dapat menambat hati penduduk Winsford, Mohd Aris berkata “kalau kita hendak selamat, hati kena baik, mulut kena manis”.

Katanya, sebagai orang asing kalau kita hendak dihormati, kita hendaklah terlebih dahulu menghormati orang lain.

Demikian kisah anak Melayu yang berhijrah ke England dan akhirnya diangkat menjadi datuk bandar di sebuah bandar bernama Winsford. Selepas beliau tidak ada lagi kedengaran cerita mengenai kejayaan anak Melayu yang mampu sampai ke jawatan berkenaan.

Cerita Jocelyn Yow mengimbaukan penulis kepada Mohd Aris yang tidak dilupai sehingga sekarang.

Nukilan cerita ini disiarkan oleh Utusan Malaysia pada Rabu, 31 Mei 1989. 

  

Thursday 17 December 2020

'Ungku Aziz, dalam sejuta hanya dia seorang sahaja'

 

Pada 15 Disember 2020 lalu kita dikejutkan dengan  pemergian tokoh tersohor negara, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Abdul Hamid pada usia 98 tahun.

Allahyarham adalah tokoh ekonomi dan pendidikan negara yang mencetuskan idea penubuhan Lembaga Tabung Haji (TH).

Ungku Aziz yang dilahirkan di London, United Kingdom pada 28 Januari 1922, mendapat ijazah dalam bidang ekonomi pada 1951 di Universiti Malaya yang ketika itu berpusat di Singapura, sebelum memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang sama di Universiti Waseda, Tokyo pada 1964.

Selain itu beliau adalah juga pengasas Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA). Pada 1968 Allahyarham dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaya di Kuala Lumpur sehingga 1988 dan merupakan Naib Canselor paling lama berkhidmat di universiti berkenaan. 
Pak Ungku sentiasa berjogging di sekeliling kampus pada waktu pagi dan ketika berjogging itu, beliau akan melihat suasana di kampus berkenaan. Jika ada sesuatu yang  tidak kena, akan dibawanya ke pengetahuan pentadbir universiti.

Dalam temu bual dengan Pak Ungku di pekarangan kediamannya di Seksyen 17 Petaling Jaya pada 2012, penulis mendapati beliau mempunyai pemikiran yang tajam dan masih aktif walaupun sudah berusia 90 tahun.

Pak Ungku juga dikenali kerana kritikannya yang tajam dan kritis, Pernah ketika menjadi Naib Canselor, beliau mengkritik golongan pensyarah yang tidak mengambil inisiatif untuk memperbaiki diri sebagai ‘Profesor Kangkung’.

Kami bertemu di kawasan kolam renang sebelum beliau menjemput penulis untuk melihat bilik kerjanya di kediaman berkenaan yang juga mempunyai sejumlah buku yang banyak.

“Saya bekerja tujuh hari seminggu. Saya tidur pada jam 11.30 malam atau 12 tengah malam dan bangun pada jam 6 pagi. Saya berehat sekejap antara jam 3 hingga 4 petang kerana perlu menjaga tubuh dan fikiran saya,” ujar beliau.

Pak Ungku berkata beliau mengamalkan pemakanan sihat dan mengikuti peraturan seperti yang tertulis di dalam buku Fit For Life hasil karya J Diamond. Katanya pada waktu pagi beliau melakukan sesuatu yang mencabar pemikirannya seperti membaca buku yang susah dibaca atau membuat Sudoku.

Dalam temu bual itu, Pak Ungku melahirkan kebimbangannya mengenai generasi muda Melayu yang suka merempit. Umumnya beliau berpendapat orang Melayu mempunyai satu sikap yang dinamakan sebagai ‘apa-thy’ atau sikap ‘tidak apa’.

Beliau juga menyatakan pemerhatiannya mengenai ketidakseimbangan di antara pelajar perempuan dan lelaki di universiti. Pelajar perempuan, tambahnya, mengatasi bilangan pelajar lelaki di universiti, melebihi 60 peratus.

Pak Ungku menambah semasa menjadi Naib canselor UM, antara perkara yang mendorongnya untuk melakukan perubahan ialah ketika Fakulti Perubatan ditubuhkan, beliau melihat jumlah pelajar Melayu amat kurang sekali. Daripada 130 pelajar yang mendaftar, terdapat hanya kira-kira 10 pelajar Melayu. Kini ada antara 10,000 hingga 15,000 pakar perubatan Melayu.

Pak Ungku kesal kerana generasi muda tidak minat pada buku dan lebih gemar menggunakan gajet disebabkan perubahan teknologi.

“Saya juga cuba menumpang perubahan teknologi itu dengan menggunakan iPhone tetapi saya tidak suka dikawal oleh alat ini,” ujarnya.

Beliau juga membaca portal berita tetapi tidak melekat padanya. “Saya tidak mahu jadi hamba Internet,” katanya yang ketika itu memegang buku Reading The Quran karya Ziauddin Sardar.

Katanya, beliau sedih meihat generasi muda bukan sahaja tidak sukakan buku, bahkan memegang buku pun tidak mahu, Akibatnya, mereka tidak mempunyai daya ingatan kuat kerana segala-galanya ada dalam kad memori.

Pak Ungku amat meminati buku dan selain mengunjungi kedai buku, beliau juga membelinya daripada Amazon.com. Keseluruhannya koleksi buku Pak Ungku berjumlah 4,000 nashkah yang disimpan di dua unit apartmen di Petaling Jaya. Beliau juga mempunyai sebuah rumah di Morib untuk menyimpan koleksi bukunya yang lain.

Pak Ungku adalah bapa kepada bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Demikian sedikit sedutan temu bual penulis  dengan Profesor Diraja Ungku Aziz kira-kira lapan tahun lalu. Pertemuan salama kira-kira sejam itu akan terus menjadi ingatan kepada penulis. Bertuahnya penulis kerana sepanjang karier dapat bertemu seorang ikon.

Benarlah apa yang diungkapkan oleh Profesor Ulung Datuk Shamsul Amri Baharuddin, "dalam sejuta, cuma hanya dia (Allahyarham) seorang dan antara 30 juta orang di Malaysia, dia adalah seorang Profesor Diraja dan dialah seorang sarjana yang disebut-sebut oleh semua kaum."

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan dosa-dosanya diampunkan.

Alfatihah.

Friday 12 April 2019

Menteri perlu dibenar guna pengawal, elak politik samseng

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat laporan polis mendakwa dikasari dan diugut Papagomo ketika penamaan calon PRK Semenyih. รข€” Foto oleh Shafwan Zaidon
Insiden di mana seorang menteri di serang secara fizikal selepas penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Semenyih Sabtu lalu dilihat sebagai perbuatan melampau yang mencemar proses demokrasi di negara ini.
Sepatutnya, proses penamaan calon dan mengundi dalam -mana pilihan raya sekalipun dijalankan dalam suasana aman dan “gentleman”, bukannya dicemari budaya samseng dan sentimen kebencian terhadap parti lawan.
Perbuatan itu oleh segelintir penyokong sebuah parti sebenarnya memalukan parti berkenaan sendiri. Justeru sewajarnya pemimpin parti berkenaan mengeluarkan kenyataan bagi memohon maaf di atas kejadian itu dan menafikan pembabitannya dalam kejadian tersebut.
Dalam kejadian itu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman Muar dikerumuni ahli penyokong Barisan Nasional (BN) ketika beliau sedang berjalan menuju ke keretanya selepas selesai sesi penamaan calon bagi PRK DUN Semenyih.
Laporan akhbar menyatakan video berdurasi 22 saat itu menunjukkan Syed Saddiq diiringi oleh anggota polis serta anggota Unit Amal PAS sambil dikejar oleh sekumpulan lelaki.
Syed Saddiq dipetik sebagai berkata ketika penyokong BN berterusan membuat provokasi, seorang exco Pemuda Umno secara tiba-tiba berlari ke arahnya dan mencekak bahagian belakang lehernya dengan ganas menggunakan tangan kirinya.
Berikutan kejadian itu, menteri terlibat membuat satu laporan polis di balai polis Sungai Way dan pihak polis sudahpun mengambil tindakan menahan anggota BN yang didakwa melakukan tindakan terbabit.
Kejadian itu tidak boleh dianggap perkara kecil dan adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menjadikannya teladan pada masa hadapan.
Pihak polis dan SPR hendaklah mengambil langkah keselamatan tambahan bagi menjaga keadaan ketika proses penamaan calon dan pengundian terutama yang berkaitan dengan calon dan orang kenamaan yang hadir.
Kejadian seumpama tidak berlaku ketika pemerintahan kerajaan sebelum ini kerana menteri dan orang kenamaan bebas bergerak dengan kereta rasmi dan dikawal pengawal peribadi ketika proses penamaan calon dan hari mengundi.
Melihat pada kejadian Sabtu lalu, badan pemantau pilihan raya termasuk SPR dan Bersih hendaklah menimbang semula syarat-syarat mereka yang melibatkan orang kenamaan ini atas sebab-sebab keselamatan.
Seperti yang dicadangkan oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju Nik Nazmi Nik Ahmad, pemimpin berjawatan kerajaan hendaklah dibenarkan menggunakan kenderaan rasmi dan pengawal ketika berkempen politik.
Kata beliau, perkara itu sudah menjadi keperluan bagi mengelakkan risiko keselamatan. Nik Nazmi juga menegaskan bahawa kelonggaran tersebut wajar diberikan pertimbangan bagi memastikan pemimpin dapat berinteraksi ketika tempoh kempen tanpa melanggar peraturan yang ditetapkan.
Walaupun kerajaan Pakatan Harapan ingin membuktikan bahawa mereka tidak menyalah guna peralatan kerajaan, namun dalam keadaan tertentu, contohnya bagi menjaga keselamatan menteri, kelonggaran seharusnya diberikan.
Ini kerana sesiapa pun tidak tahu apa akan berlaku andainya ada penyokong parti politik tertentu yang bertindak di luar dugaan. Tambahan pula menteri atau orang kenamaan ini mungkin berhadapan  risiko lebih tinggi jika mereka berada di tempat sunyi.
Dalam kejadian Sabtu lalu Syed Saddiq bernasib baik kerana dibantu oleh anggota polis dan Unit Amal PAS yang kebetulan mengiringi beliau.
* Razak Rashid Ghows seorang penulis kolum ProjekMM. Artikel ini disiarkan pada             19 Februari 2019